Monday, September 20, 2010

Implikasi Model Sosial terhadap proses pengajaran dan pembelajaran ( P&P)

Terdapat pelbagai implikasi model sosial yang dapat kita perolehi di dalam dunia pendidikan. Di antaranya ialah memberi peluang kepada murid untuk memerhati dan mencontohi pelbagai tingkah laku yang diingini. Oleh itu,guru hendaklah menunjukkan tingkah laku yang positif kepada murid-murid. Melalui contohnya yang positif ini, murid-murid pasti akan mengikut apa yang mereka rasakan boleh membawa kebaikan kepada mereka. Bukan itu sahaja, bahkan pengaruh rakan sebaya juga mungkin akan menyebabkan murid-murid akan mencontohi tingkah laku yang diingini. Sebagai contohnya sekiranya rakan mereka mereka menunjukkan tingkah laku yang positif, mereka akan mencontohi tingkah laku itu dan sebaliknya. Namun begitu sudah menjadi lumrah alam manusia ini seringkali mencontohi perkara yang negatif sahaja. Jadi, sudah menjadi tanggungjawab guru untuk memerhati murid agar mereka mengikut landasan yang benar.

Selain daripada itu, melalui model pengajaran model sosial ini juga, guru dapat menyediakan persekitaran sosial yang kondusif agar modeling boleh berlaku. Intensif, pengukuhan dan sokongan moral seharusnya diberi bagi menggalakkan berlakunya tingkah laku yang baik dalam kalangan murid-murid kita. Guru seharusnya memainkan peranan penting di dalam perkembangan murid-murid ini. Kanak-kanak ibarat kain putih dan sudah menjadi tanggunjwab guru untuk mendidik murid-murid supaya menjadi insan yang berguna. Namun begitu, ibu bapa juga harus memainkan peranan penting dalam membesarkan anak-anak mereka dan bukan hanya memberikan 100% kepercayaan kepada guru sahaja.

Selain daripada itu, murid-murid juga dapat belajar dengan lebih mendalam lagi melalui kerja kumpulan yang bersifat koperatif ini. Murid-murid dapat belajar bersama-sama untuk menguasai maklumat, idea dan kemahiran yang penting di samping memikirkan cara-cara penyelesaian masalah yang timbul. Seperti yang kita ketahui, teknik perbincangan merupakan satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang berbentuk perbualan dan ia dilakukan dikalangan pelajar dibawah penyeliaan dan kawalan seorang guru. Murid-murid dapat berbincang di antara satu sama lain bagi menjana idea untuk lebih memantapkan lagi perbincangan mereka. Sekiranya terdapat percanggahan idea atau maklumat yang tidak dikenalpasti mereka boleh merujuk kepada guru mereka bagi memastikan ketepatan sesuatu maklumat. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan amalan pembelajaran koperatif mereka.

Disamping itu juga, murid-murid akan bersaing antara satu sama lain dalam suasana yang kondusif dan dalam pada masa yang sama, setiap ahli mempunyai peluang yang sama untuk memperoleh pencapaian cemerlang. Sekiranya wujud semangat persaingan di antara murid-murid mereka akan lebih berusaha dengan gigih untuk membuktikan kebolehan masing-masing tanpa menimbulkan perasaan hasad dengki masing-masing. Setiap murid-murid akan berjaya memperolehi kecemerlangan dalam erti kata lain berjaya menjadi insan yang berguna.




0 comments:

Post a Comment